BANGI, Ahad – Pemberian ubat mencegah HIV, Pre-Exposure Prophylaxis atau PReP kepada golongan LGBT, mengukuhkan lagi naratif untuk menormalisasikan golongan itu di negara ini.
Presiden Gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, golongan tersebut harus dibanteras menggunakan kuasa undang-undang, kesedaran, pendekatan, pendidikan, dakwah dan seumpamanya.
“Dalam negara kita ini sememangnya ada arus untuk menormalisasikan LGBT, jadi pemberian PReP ini akan mengukuhkan lagi naratif utk menormalisasikan LGBT dan itu merupakan perkara kita tidak mahu,” katanya ketika dihubungi TV Pertiwi pada Ahad.
Malah, jelasnya, terdapat banyak cara untuk membantu golongan itu selain pemberian ubat PReP.
“Jadi, LGBT ini harus dibanteras menggunakan kuasa undang-undang, kesedaran, pendekatan, pendidikan, dakwah dan seumpamanya, tetapi sekiranya kita gunakan pendekatan-pendekatan yang semakin akan menggalakan mereka, kita makin merosakkan mereka dan mengukuhkan lagi naratif untuk menormalisasikan LGBT di negara ini,” katanya.
Tambahnya, beliau juga menyokong pandangan beberapa mufti dan ahli akademik Islam yang berpandangan melarang pemberian PReP kepada golongan tersebut.
“Kerana kita semua faham dan tahu bahawa golongan tersebut bermasalah dan mereka juga ada penyakit-penyakit tertentu yang mungkin terkena kepada mereka,” katanya lagi.
Terdahulu, dalam ruangan soal jawab Jabatan Mufti selangor, melarang pemberian ubat PReP yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV kepada pasangan homoseksual.
Menurutnya, pengambilan atau pemberian ubat itu hanya diharuskan kepada pasangan suami isteri.
Pandangan itu juga dipersetujui oleh mufti Pulau Pinang dan Sabah yang melarang pemberian PReP kepada golongan homoseksual.