BANGI, Ahad – Kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr. P Ramasamy yang mempersoalkan hanya pelantikan dua anggota bukan Melayu dalam Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) menunjukkan sikap sebenar parti itu yang suka bermain api perkauman.
Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Aminuddin Yahaya berkata pada masa yang sama DAP kononnya lantang melaungkan slogan ‘Malaysian Malaysia’.
Beliau juga mempersoalkan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang berkenaan yang mempertikaikan isu terbabit kononnya demi menjaga kepentingan sekolah vernakular Cina dan Tamil.
Tambah Aminuddin, isu ini seperti menunjukkan sekolah vernakular mempunyai keistimewaannya tersendiri sehingga memerlukan ‘kuota’ wakil bukan Melayu dalam apa juga badan pendidikan kerajaan.
“Kalau ikut logik DAP, jika betul dua anggota bukan Melayu itu adalah wakil untuk sekolah vernakular, maka manakah wakil-wakil untuk pendidikan pondok dan tahfiz? Pendidikan TVET dan seni siapa pula jadi wakil?” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya semalam.
Aminuddin berkata demikian bagi mengulas tindakan Ramasamy yang mempersoalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hanya meletakkan dua anggota bukan Melayu sebagai ahli dalam Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi sesi 2023-2025.
Beliau yang juga Jurucakap Jawatankuasa Pemandu Gagasan Bangsa (GB) itu turut mempersoalkan sama ada tindakan melantik wakil sekolah vernakular memerlukan ‘restu’ Dong Zong atau Jiao Zong memandangkan mereka adalah pengelola sistem vernakular di negara ini.
Dalam pada itu, Aminuddin berpendapat keanggotaan MPPK seharusnya dilantik mengikut merit dan kewibawaan tokoh masing-masing yang arif dalam pendidikan secara keseluruhannya dan bukan menjadi wakil mana-mana pihak tertentu.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan senarai sembilan anggota MPPK yang baharu termasuk dua wakil anggota bukan Melayu iaitu Datuk Dr Mehander Singh Nahar Singh dan Chee Poh Kiem.
Perkara itu turut mendapat perhatian Ramasamy yang menyuarakan sekiranya dua wakil bukan Melayu itu mencukupi untuk mewakili dan bercakap mengenai sistem pendidikan negara dengan penekanan khusus diberikan kepada pendidikan vernakular.
Beliau berkata ia penting untuk mempunyai wakil yang bercakap mengenai masa depan sistem pendidikan vernakular yang wujud bersama sistem kebangsaan.