BANGI, Isnin – Tindakan ahli politik Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turki di negara itu pada Sabtu lalu turut mencetuskan kemarahan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Ada segelintir yang menggesa supaya barangan dan produk daripada negara berkenaan dipulaukan seperti mana pernah dilakukan masyarakat dunia menentang perbuatan keji pihak terbabit terhadap mana-mana penghinaan.
Dalam pada itu, tindakan memboikot barangan produk Sweden juga disaran penyanyi dan pempengaruh, Ariz Ramli yang menggesa rakyat Malaysia terutamanya umat Islam.
Beliau lebih dikenali sebagai Caprice berkata demikian kerana kesal dan berang terhadap tindakan Paludan yang juga ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark.
“Jangan masuk Ikea! Jangan masuk H&M! F the meatballs! Selagi mereka memprovok agama kita, selagi itu lah kita jangan sokong produk-produk buatan mereka!” katanya dalam nada marah sambil menggunting sehelai kemeja T jenama H&M.
Dalam perkembangan sama, masyarakat antarabangsa mula mencetuskan pendapat untuk memboikot barangan dari Sweden bagi menghormati al-Quran dan agama Islam.
Antaranya, mereka menganjurkan protes memboikot barangan Sweden seperti Ikea dan beberapa lagi produk lain.
Selain itu, pengguna Twitter dipercayai warga Pakistan menyeru rakyat Pakistan berhenti membeli dan memboikot barangan buatan negara berkenaan.