BANGI, Isnin – Satu pasukan bertindak khas di peringkat dunia perlu ditubuhkan bagi melakar agenda untuk menyekat Islamofobia.
Cadangan itu dilontarkan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang menjelaskan bahawa Kesatuan Ulama Dunia tersebut harus dinaungi badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menurut PUM, tindakan Islamofobia seorang ahli politik Sweden yang membakar Al-Quran itu bukan pertama kali bahkan masih berterusan berlaku.
PUM juga menggesa umat Islam untuk mengutuk tindakan sedemikian hanya menimbulkan rasa benci yang tiada pengakhirannya.
Pada masa sama, PUM turut mengucapkan syabas di atas ketegasan Malaysia dalam perbuatan berkenaan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Katanya, ia adalah pendirian konsisten pemimpin Malaysia sejak sekian lama yang ditunjukkan pemimpin terdahulu dan hanya dipertegaskan lagi oleh Perdana Menteri ke-10 itu.