BANGI, Selasa – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor menyenaraikan 432 ‘hotspot‘ kawasan banjir di Johor susulan amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) terhadap Johor, semalam.
Pengarah APM Johor, Penolong Pesuruhjaya Kamal Mokhtar berkata, seramai 1,000 anggota diarahkan bersiap siaga terhadap kemungkinan banjir susulan amaran hujan berterusan tahap merah bermula kelmarin hingga esok.
Tambah beliau, kawasan kediaman berdekatan sungai serta tempat rendah berisiko untuk dinaiki air bah jika hujan lebat berterusan lagi seperti semalam.
Kamal memaklumkan setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) secara rasmi dibuka walaupun berlaku banjir kilat di Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar, Pontian, Kluang dan Tangkak.
Malam tadi, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya sehingga esok di Johor membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Kulai dan Mersing.