BANGI, Selasa – Pegawai dan anggota yang ditahan kerana terbabit dengan kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) dikatakan terbabit gengsterism dan keganasan termasuk ugutan jenayah.
Antara aktiviti yang dilakukan kumpulan terbabit seperti mengutip wang pinjaman bagi pihak ah long dan tarik kereta.
Bagaimanapun, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tidak semua pegawai dan anggota yang ditahan terbabit dengan aktiviti keganasan.
“Kita sudah mengenal pasti aktiviti dilakukan kumpulan terbabit dan setakat ini kita pasti tidak semua pegawai dan anggota yang ditahan itu terbabit dengan aktiviti keganasan sebaliknya antara mereka ada yang sekadar menyertai sebagai ahli biasa.
“Semua mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan IPK Terengganu ditahan di Dungun dan Kuala Terengganu antara Khamis dan Sabtu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.
Beliau berkata, 10 daripada 14 yang ditahan berusia antara 20 hingga 49 sudah dikenakan perintah tahan kerja bermula petang semalam, manakala yang lain masih ditahan reman hingga esok.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Dan Letupan 1958,” katanya.
Rohaimi berkata, hasil siasatan, kumpulan diketuai lelaki berusia 39 tahun dikenali sebagai Hussin Hassan itu dipercayai adalah serpihan daripada Pertubuhan Selendang Merah yang kini memiliki keahlian seramai 200 hingga 300 orang dikatakan aktif menjalankan aktiviti itu sejak 2021.
“Bagaimanapun, Selendang Merah (Pertubuhan) adalah pertubuhan berdaftar dan setakat ini kita tidak ada menerima sebarang aktiviti keganasan membabitkan pertubuhan itu. Kita akan meminta supaya kumpulan ini (AHK) diwartakan sebagai haram,” katanya.
Susulan penahanan itu, beberapa barangan dirampas membabitkan pelbagai barangan dan peralatan termasuk senjata berbahaya yang digunakan kumpulan terbabit iaitu enam bilah pedang, dua badik, satu ekor pari yang diubahsuai menjadi senjata berbahaya.
Turut dirampas lapan kereta, 28 telefon bimbit, borang keahlian, logo pertubuhan, baju serta al-Quran, sejadah, songkok dan kain kapan dipercayai digunakan bagi upacara baiah.
Beliau meminta agar masyarakat sekitar membantu dalam menyalurkan maklumat terus kepada pihak JSJ IPK mengenai kumpulan berkenaan atau terus ke Pejabat Ketua Polis Terengganu.
Media semalam melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan sekurang-kurangnya 14 anggota dan pegawai kanan yang bertugas di dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan peringkat kontinjen dari pantai timur, Jumaat lalu.
Pegawai dan anggota pelbagai pangkat itu adalah antara 21 individu termasuk orang awam berusia 20-an hingga 40-an yang ditahan.
Mereka ditahan selepas disyaki terbabit dengan kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai kumpulan Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) dalam satu operasi khas dikenali sebagai Op Selendang.