BANGI, Selasa – Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat apa sahaja bentuk rasuah berlandaskan peruntukan undang-undang dan bukan tertakluk kepada pemahaman peribadi.
Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sedekah atau sumbangan kepada pengundi tetap rasuah walaupun apa sekali pun seseorang itu menggambarkannya kerana undang-undang jelas memberi maksud dengan pembelian undi.
Memetik The Star, Azam menegaskan, Seksyen 10 (a) mentakrifkan secara terperinci perbuatan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya yang dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh calon sendiri atau oleh wakil bagi pihaknya.
Katanya, sesiapa yang didapati bersalah boleh dipenjara maksimum dua tahun, denda antara RM1,000 dan RM5,000, serta penjara sehingga setahun.
Tambahnya, calon juga boleh hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan kehilangan hak untuk bertanding pada pilihan raya selama lima tahun jika mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu.
Beliau berkata, SPRM sudah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai ketika kempen pilihan raya seperti dilihat dalam satu video yang berlaku di Terengganu.