BANGI, Selasa – Isu-isu yang dikhuatiri boleh mengancam keharmonian dan perpaduan Bangsa Johor seharusnya ditangani dengan cekap oleh pihak berkuasa, titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Johor yang merujuk dakwaan tular berkaitan bengkel peperiksaan dianjurkan khusus bagi pelajar Islam oleh sebuah sekolah menengah di Johor Bahru bertitah, tindakan pantas dan tepat oleh pihak berkuasa boleh membantu mencegah kekeliruan dan penularan sentimen berbaur kebencian.
“Saya tidak mahu Bangsa Johor keliru dan mula berburuk sangka antara satu sama lain. Saya cukup menitik-beratkan betapa pentingnya persefahaman, perpaduan dan toleransi antara kaum kita yang pelbagai.
“Jabatan Pendidikan seharusnya bertindak pantas untuk menangani situasi sebegini agar tidak menular emosi negatif serta perkara tidak sahih dalam kalangan rakyat.
“Ia juga merupakan pengajaran kepada semua pihak yang perlu menangani rasa tidak puas hati mereka,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.
Baginda bertitah, tiada individu patut disisihkan daripada sesuatu program awam kerana agama atau bangsanya.
“Jika benar ada yang diasingkan kerana itu, maka tindakan perlu diambil kepada penganjur. Begitu juga jika didapati ada tuduhan tidak benar dan dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” titah baginda.
Sebelum ini, tular di Twitter berkait tangkap layar dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa dan kakitangan sekolah yang melahirkan rasa tidak puas hati segelintir ibu bapa selepas sekolah itu didakwa mengadakan bengkel SPM secara eksklusif untuk pelajar Islam yang berprestasi rendah dalam akademik.