BANGI, Selasa – Kadar integriti pihak berkuasa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini diuji bagi memastikan siasatan bebas berhubung dakwaan sogokan sedekah yang diperakui oleh ahli kepimpinan Pas.
Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, rakyat sedang menilai sejauh mana reformasi demokrasi di bawah pimpnan Anwar dapat ditunaikan bagi mengekang rasuah, korupsi serta salah guna yang dlaung-laungkan selama ini.
“Bagaimana kerajaan dapat memastikan badan berwajib bebas melakukan siasatan dan pendakwaan setelah berpuas hati dengan siasatan tersebut.
“Bagaimana pula pendakwa raya bertindak setelah laporan siasatan diserahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, pemberian wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah sedekah.
Beliau membalas kenyataan itu sebagai reaksinya terhadap tindakan UMNO Terengganu yang menfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi oleh calon Pas.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu laporan memaklumkan, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai ketika kempen pilihan raya seperti yang dipaparkan di sebuah video yang berlaku di Terengganu.
Sementara itu, Norliza memaklumkan, kenyataan terbuka yang dikeluarkan oleh Presiden Pas mengenai sedekah sewaktu pilihan raya bukanlah satu kesalahan, berjaya mengejutkan pelbagai pihak di negara ini.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin pula menyatakan, segala bentuk pemberian bergantung kepada niat seolah-olah bersetuju dengan kenyataan Abdul Hadi.
“Kerajaan Malaysia Madani wajib bertegas dalam membanteras pihak-pihak tidak bertanggung jawab mendoktrin ‘sedekah’ ke dalam pemikiran anak-anak muda ini.
“Perlu diingat, anak muda pewaris masa hadapan negara. Rosak pemikiran anak muda akan rosaklah masa hadapan negara kita,” kata Norliza.