BANGI, Selasa – Tindakan boikot kedai makan yang dicadangkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebenarnya membawa maksud tersirat bagi menunjukkan kuasa membeli terletak di tangan rakyat ekoran kenaikan harga di kedai makan.
Pakar Ekonomi, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, peniaga akan membuat keputusan untuk menaikkan harga serta mengekalkan harga barangan bergantung kepada permintaan.
Prof Razman ketika dihubungi TV Pertiwi memaklumkan, penetapan harga tersebut dipengaruhi oleh faktor pengguna yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai pendapatan berbeza.
Katanya, jika peniaga mendapati pembeli atau rakyat mampu membeli makanan dengan harga sedemikian rupa, maka mereka akan berterusan menawarkan harga itu di restoran.
Tambah pakar ekonomi itu, tindakan memaksa peniaga untuk menurunkan harga makanan adalah tidak wajar ekoran kos yang ditanggung peniaga restoran seperti penetapan gaji minimum pekerja yang akan berkuatkuasa serta kemungkinan kenaikan kos operasi.
Ia juga bergantung kepada pasaran apabila kurangnya permintaan kerana rakyat sudah bijak berbelanja, maka peniaga akan mencari jalan penyelesaian untuk memastikan mereka menawarkan harga lebih kompetitif.
Dalam pada itu, Razman turut menjelaskan, kuasa di tangan pembeli boleh menjadi lebih berkesan apabila segala data diaplikasikan sebagai langkah untuk kerajaan memastikan pengaksesan ataupun dapatan data itu lebih mudah diperoleh oleh rakyat.