BANGI, Selasa – Pengambilan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 kini tidak menjadi kewajiban kepada orang ramai. \
Namun, didapati terdapat beberapa golongan yang secara sukarela mengambil dos penggalak berkenaan kerana mempunyai alasan yang tersendiri walaupun ia tidak lagi diwajibkan oleh kerajaan.
Memetik Sinar Harian, seorang penghidap kanser Limfoma, Datin Fuzianna Ibrahim, 59, memaklumkan, beliau memilih untuk mendapatkan dos penggalak kedua kerana penyakit itu menggugat daya imunnya sehingga mampu mendedahkan beliau kepada risiko yang tinggi untuk dijangkiti Covid-19.
“Bagi kes saya, memang (pengambilan dos penggalak kedua) sangat diperlukan sebab bukan hanya saya menghidap kanser tetapi saya juga telah melakukan pemindahan sum-sum tulang yang merendahkan lagi keimunan badan saya.
“Saya memang hendak (dapatkan dos penggalak kedua) kerana saya sedar saya ada komobiditi dan kadangkala melakukan perjalanan, saya mahu rasa lebih terlindung… Jadi saya tanya doktor yang merawat kanser saya adakah boleh dan beliau amat mengesyorkannya,”
Oleh itu, beliau yang juga merupakan bekas ahli farmasi menyarankan agar penghidap kanser seperti beliau antara golongan yang berisiko tinggi kepada jangkitan Covid-19 disebabkan faktor yang lain seperti sudah berusia untuk tidak takut atau gusar lagi mendapatkan dos penggalak yang kedua.
Sementara itu, Anis turut menyatakan proses mendapatkan dos penggalak menerusi aplikasi MySejahtera kini semakin mudah dan tidak membebankan beliau yang sentiasa mempunyai jadial kerja padat.
“Sangat mudah dan saya sangat sarankan kepada keluarga dan rakan. Semuanya dilakukan di aplikasi MySejahtera. Ambil masa seminggu untuk tempah dan klinik pilihan saya hanya 10 minit dari rumah, tidak perlu beratur panjang dan keseluruhan proses adalah kurang daripada 30 minit,” katanya.

Beliau memaklumkan golongan di kumpulan keutamaan tidak perlu lagi membuat janji temu dan perlu terus ke hospital bagi mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, suntikan dos penggalak berkenaan sudah ditawarkan di 1,293 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara iaitu di 104 hospital Kementerian Kesihatan Malaysia, 754 klinik kesihatan dan 435 PPV swasta.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, orang ramai yang tergolong dalam kumpulan keutamaan boleh mendapatkan vaksinasi tanpa perlu membuat janji temu atau hanya terus hadir ke hospital, klinik kesihatan atau PPV swasta manakala kategori lain pula perly membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera atau menghubungi terus ke PPV swasta.
Berdasarkan data di laman web KKMNOW setakat tengah malam tadi, sejumlah 16,297,142 atau 49.9 peratus daripada populasi Malaysia telah mengambil dos penggalak pertama dan hanya 759,815 atau 2.3 peratus daripada populasi sama memilih mendapatkan dos penggalak kedua.