BANGI. Selasa – Turkiye memberi amaran kepada Sweden agar tidak mengharapkan sokongan negara itu untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas insiden bakar al-Quran di Stockholm.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan kes pembakaran Al-Quran di Sweden merupakans satu jenayah kebencian yang menggugat agama Islam
Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan semalam, sekali gus menjadikan peluang Sweden dan Finland untuk menyertai pertahanan itu semakin jauh sebelum pilihan raya Turkiye.
“Sweden tidak sepatutnya mengharapkan sokongan Turkiye untuk NATO. Adalah jelas bahawa mereka yang menyebabkan aib di hadapan kedutaan kita, tidak boleh mengharapkan sebarang kebajikan berhubung permohonan untuk menjadi ahli NATO,” katanya.
Erdogan berkata, Sweden sepatutnya tidak mengharapkan sokongan bagi perjanjian NATO selepas membiarkan insiden membakar al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye.
Katanya, pembakaran kitab suci umat Islam adalah jenayah kebencian yang tidak dapat dipertahankan dengan kebebasan bersuara.
Namun, Menteri Luar Sweden, Tobias Billstrom berkata, beliau tidak boleh mengulas mengenai kenyataan itu kerana mahu memahami dengan tepat apa yang dikatakan.
Terdahulu, Turkiye telah membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara berkenaan yang sepatutnya dijadualkan pada 27 Januari ini susulan tindakan biadap terhadap umat Islam itu.
Perkara tersebut disebabkan seorang ahli politik Sweden, Rasmus Paludan membakar kitab suci al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden.