BANGI, Selasa – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan, tidak berlaku sebarang isu diskriminasi terhadap pelajar dalam program bengkel pembelajaran sebuah sekolah di Johor.
Kementerian berkenaan dalam satu kenyataan berkata, Bengkel Persediaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu membabitkan calon dari sebuah sekolah menengah di Johor Bahru.
Berdasarkan maklum balas awal diterima KPM daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor berhubung program itu, laporan awal mendapati bengkel tersebut adalah salah satu daripada pelbagai perancangan pihak berkaitan bagi memastikan semua murid tanpa mengira kaum dapat membuat persediaan menjelang peperiksaan SPM.
“Pada 19 dan 20 Januari 2023, Bengkel Persediaan SPM untuk calon telah dilaksanakan dahulu di Hotel Suasana, Johor Bahru membabitkan 30 orang calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta melibatkan calon GALUS (gagal lulus) dalam beberapa mata pelajaran lain.
“Bengkel yang dilaksanakan diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
“KPM dimaklumkan bahawa bengkel susulan yang sama bagi calon lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari 2023 bertempat di hotel yang sama.
“Hasil siasatan mendapati tiada isu diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki SPM dalam program yang telah dirancang oleh pihak sekolah dengan melibatkan pegangan agama berbeza sebagaimana yang didakwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, KPM menegaskan pendidikan adalah elemen utama yang merentas setiap kaum, agama dan bangsa.
Oleh yang demikian, kementerian berkata, proses dan carta alir penganjuran program oleh pihak sekolah antara aspek yang sering diberi penekanan.
“Namun prestasi komunikasi akan dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
“KPM memohon kerjasama agar ibu bapa dan masyarakat terus menghubungi KPM melalui platform rasmi sekiranya terdapat sebarang isu atau masalah terutamanya yang melibatkan murid-murid.
“KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.