Seramai 1.5 juta pelarian Syria berada di Lubnan iaitu kedua tertinggi selepas Turkiye manakala pelarian Palestin di Lubnan seramai setengah juta.
Jumlah ini sekali gus merekodkan satu per tiga penduduk di Lubnan adalah pelarian.
Krisis ekonomi yang memburuk di Lubnan berikutan negara bekas jajahan Perancis itu diistiharkan muflis pada April 2022 memberi kesan besar terutamanya pelarian Syria dan Palestin yang tinggal di sini.
Gandum yang menjadi bahan asas utama makanan harian penduduk di Lubnan mengalami peningkatan harga mendadak berikutan perang antara Rusia dan Ukraine.

Roti Arab menjadi makanan asas dan utama pelarian Syria dan Palestin di Lubnan
Lapor L’Orient Today, sebungkus kecil roti Lubnan seberat 340 gram kini dijual pada harga LL10,000 iaitu RM28.64 berbanding kadar sebelumnya LL10,000 untuk 365 gram pada Oktober 2022.
Manakala roti paket sederhana seberat 835gram dijual pada harga LL17,000 (RM48.68), berbanding LL16,000 (RM45.82) untuk paket 800 gram sebelum ini.
Bagi sepaket besar roti arab seberat 1,107gram adalah LL21,000 (RM60) berbanding LL20,000 untuk 1,065 gram (RM 57.27).
Peningkatan harga roti yang berlaku hampir setiap bulan pada tahun 2021 dan 2022 memberi tekanan kepada pelarian sehingga ada yang sanggup mengutip cebisan roti di tanah yang kemudiannya disimpan.
Berikutan itu, sembilan daripada 10 pelarian Syria hidup dalam kemiskinan tegar terpaksa mengurangkan makanan dan rawatan perubatan mereka ketika berdepan musim sejuk tahun ini.

Kem pelarian Syria di Arsal, Lubnan
Lebih membimbangkan apabila Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Program Makanan Sedunia (WFP) menghentikan bantuan kewangan bulanan.
Lapor Xinhua Net, UNHCR dan WFP hanya memberi bantuan kepada 35,000 daripada 269,000 keluarga Syria yang kehilangan tempat tinggal di Lubnan bermula Januari tahun ini dengan alasan pembiayaan dan sumber yang tidak mencukupi.

UNHCR dan WFP menghentikan bantuan kewangan bulanan.
Kesanya, terdapat pelarian Syria terputus bekalan makanan selama sebulan dan sudah enam bulan tidak menerima makanan yang mencukupi.
Ketua Kem Al Masri, di wilayah Baaben, Arsal, Khaled Ibrahim memberitahu, hampir 90 peratus penghuni kem tersebut telah dikategorikan tidak layak menerima bantuan dan dikeluarkan daripada senarai menerima bantuan UNHCR.
Begitu juga yang berlaku terhadap kanak-kanak kurang upaya pelaria Syria, Syaimak, 16 tahun yang berdepan dengan cabaran rawatan apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menarik balik bantuan perubatan dan rawatannya sejak empat bulan lalu.
Syaimak yang sebelum ini merupakan kanak-kanak normal telah kehilangan ibu dan ayahnya ketika peperangan di Syria telah mengalami kecederaan serta hanya mampu berada di atas kerusi roda.

Syaimak (berbaju merah) tinggal bersama nenek, ibu saudara dan sepupunya di kem pelarian
Sudah pasti kesan yang sama turut tempias dan dihadapi oleh pelarian Syria dan Lubnan yang lain.
Sebagai umat Islam, sudah semestinya perlu membantu saudara Islam yang lain dalam apa cara sekali pun bagi meringankan beban mereka.
Kehidupan pelarian bagai layang-layang putus tali itu mengingatkan rakyat Malaysia erti syukur dan menghargai rezeki serta pemberian Ilahi.
Lebih penting adalah mengajar kita untuk mempertahankan tanah air daripada ancaman-ancaman serta cabaran terhadap agama Islam yang menjadi tunjang dan bangsa Melayu sebagai kelompok majoriti di negara ini.
Ini supaya Melayu dan Islam tidak tergadai di tanah air sendiri.