BANGI, Rabu – Seorang ahli politik Belanda berhaluan kanan, dan ketua kumpulan Islamofobia Pegida, pada hari Ahad mengoyakkan halaman al-Quran sebelum dibakar di The Hague, Belanda.
Menerusi ciapan di Twitter, Edwin Wagensveld berkongsi video tindakan provokasinya yang dilakukan di hadapan bangunan parlimen The Hague.
https://twitter.com/i/status/1617578911247761418
Pihak berkuasa polis tempatan dilaporkan memberinya kebenaran untuk melakukan perbuatan itu dengan syarat dia tidak membakar kitab suci umat Islam itu.
Bagaimanapun, video Wagensveld menunjukkan dia kemudian membakar muka surat al-Quran yang terkoyak dalam kuali sebagai protes Islamofobia yang sama pada hari Sabtu di Sweden.
Oktober lalu, polis Belanda menahannya sebelum dia berpeluang membakar al-Quran semasa perhimpunan yang dihadiri sekumpulan kecil penyokong Pegida di Rotterdam.
Puluhan negara mengecam provokasi di ibu kota Sweden, Stockholm, termasuk Türkiye.
Ini merupakan kejadian kedua berlaku pada tahun ini berhubung isu penghinaan terhadap kitab suci umat Islam selepas ahli politik berhaluan kanan Sweden, Rasmus Paludan secara sengaja membakar kitab suci Al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye di Sweden pada Ahad lalu.