BANGI, Rabu – Tindakan kerajaan mengimport pakar agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) disifatkan seperti meremehkan kebolehan syarikat tempatan.
Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni yakin negara mempunyai kepakaran dan mampu membangunkan sektor perumahan negara.
“Sedangkan kita tahu sektor perumahan ini ada kaitan dengan banyak industri lain, jika kita buka kepada pakar luar untuk masuk, dibimbangi banyak syarikat luar akan terlibat.” – Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Ustaz Fauzi turut menyatakan kebimbangan sektor lain yang berkaitan akan terlibat secara tidak langsung.
Tambahnya, ia akan mengakibatkan kerugian kepada syarikat tempatan walaupun negara memiliki kepakaran untuk membangunkan sektor berkenaan.
Memetik Ismaweb.net, beliau mengulas lanjut sektor perumahan mempunyai kaitan dengan konsep dan struktur masyarakat di negara ini.
Singapura dan Malaysia adalah dua negara yang berbeza dan semestinya memiliki struktur bangunan dan budaya yang berbeza.
Ustaz Fauzi berpendapat, Malaysia perlu dibangunkan dengan ciri-ciri tersendiri dan perkara tersebut hanya difahami oleh syarikat dan pakar tempatan sahaja.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memaklumkan, kerajaan Singapura bersetuju menghantar beberapa pakar HDB bulan depan bagi berkongsi kepakaran dengan Malaysia dalam usaha memantapkan lagi sektor pembinaan perumahan awam negara.
Ia termasuk dari Jepun dan China sebagai langkah mereformasi sektor perumahan negara.