BANGI, Rabu – Sayap Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) menggesa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan(KPKT) untuk membatalkan cadangan membawa pakar agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) ke dalam negara.
Setiausaha Wira Perkasa Malaysia, Mohamad Razif Ross mempersoalkan keistimewaan dan kelebihan pakar luar sehingga menenggelamkan pakar-pakar tempatan dalam bidang perancangan serta pembangunan bandar dan perumahan tempatan.
“Wira Perkasa melahirkan kebimbangan sekiranya pakar dari luar negara dibawa masuk ke negara ini ianya mungkin tergugat dan mungkin berlaku pencabulan ke atas kedaulatan dan dari sudut keselamatan negara,” katanya.

Setiausaha Wira Perkasa Malaysia, Mohamad Razif Ross
Beliau berkata demikian susulan kebimbangan Wira Perkasa terhadap pencabulan ke atas kedaulatan dan dari sudut keselamatan negara.
Maklumat penting dan sulit kerajaan mengenai perancangan bandar juga akan terjejas dan terdedah jika diberi akses sepenuhnya kepada pakar dari luar, katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad Razif juga meragui sama ada mempunyai jaminan tiada campur tangan kuasa asing dalam hal pembandaran dan perumahan di dalam negara.
Beliau turut menegaskan adakah keputusan itu wujudnya pihak yang menerima ‘imbuhan’ di atas alasan ‘win win situation’ sehingga KPKT membuat keputusan berkenaan.
Mohamad Razif turut bimbang akan sebarang kemungkinan agenda pecah perintah terhadap orang Melayu seperti mana pernah berlaku di Singapura sehingga menghilangkan kuasa politik orang Melayu secara pelahan-lahan.