BANGI, Sabtu – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu merubah data buku Sejarah Malaysia bagi memastikan data yang diberikan kepada masyarakat sekarang dan generasi yang seterusnya adalah data yang sahih.
Profesor Pemikiran Linguistik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Professor Dr. Solehah Yaacob berkata, ia juga termasuk penjajahan bumi Melayu sejak zaman Mesopotamia lagi dan bukan daripada zaman penjajahan Portugis.
Tambahnya, pendaftaran kosa kata oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam kamus Bahasa Champa Kuno juga perlu disusun semula bagi menunjukkan kepada masyarakat Melayu bahasa mereka yang sebenar.
“Kenapa kita perlukan satu data perkataan prakata terhadap kamus bahasa Cham Kuno Melayu kepada bahasa Melayu moden kerana itulah bahsa Melayu yang asal.
“Bahasa Melayu yang asal ialah bahasa Cham Kuno kerana orang-orang Cham Kuno ini ialah orang Melayu.
“Jadi perkataan yang disebut oleh dapatan Cina mencatatkan perkataan berdasarkan sebutan (pronunciation) ataupun sebutan Sino Cina, bahasa Vietnam, bahasa Jepun dan Mandarin.
“jadi mereka tulis berdasarkan pemahaman (understanding) mereka,” katanya selepas Forum Peradaban Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pagi tadi.
Tambah Prof. Solehah, terdapat juga perkataan yang digunakan dalam pinjaman dialek Patani lama seperti ‘Mog Ten’ yang membawa maksud Mok Teh manakala Ishana yang merupakan nama lelaki Islam iaitu Hisham serta perkataan ‘jenten’ yang membawa maksud ‘jantan’ dalam kamus Bahasa Melayu.
Sementara itu, Jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya berkata, orang Melayu mempunyai masa depan yang cerah, namun ia juga bergantung kepada sikap orang Melayu itu sendiri.
Jelasnya, sejarah membuktikan bangsa Melayu komited terhadap agama Islam sejak dshulu lagi serta perkembangan teknologi dan kajian dapat membantu dari segi hala tuju masa depan negara.
“Bagi saya orang Melayu mempunyai sejarah yang sangat gemilang dan saya yakin perkara ini cuma semua umat Islam ataupun orang Melayu perlu masa sedikit untuk mengkaji serta memahami tentang sejarah dan menjadikan itu sebagai bahan untuk kita mencorakkan masa depan kita,
“Orang Melayu merupakan satu bangsa yang hebat dan mempunyai tamadun dan kemuliaan sendiri bermula dari Nabi Ibrahim AS.
“Jadi, bagi saya ini perlu dibongkarkan kembali untuk melahirkan jati diri bangsa kita yang hebat dan tinggi ini,” jelas Aminuddin.
Forum Peradaban Melayu ini dihadiri seramai 300 peserta daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan dipengerusikan oleh moderator, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Dr Awang Sariyan serta panel lain Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan, Prof Datuk Dr. Mokhtar Saidin.