BANGI, Isnin – Mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang baru dipecat daripada UMNO memberi bayangan beliau mungkin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.
Mantan Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal yang tewas dalam perebutan kerusi Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) tahun lalu berkata, beliau sedang mempertimbangkan pilihannya, termasuk parti yang akan disertai jika ingin bertanding pada PRN di negeri itu.
Menurut beliau, potensi untuk aktif berpolitik di negeri itu amat menarik kerana ia menampilkan kebanyakan kawasan bandar dan beliau didorong sokongan diterimanya di Sungai Buloh.
“Saya cukup berminat dengan politik di Selangor. Saya rasa ada banyak potensi untuk memulakan semula karier politik saya di sana.
“Saya menghabiskan tiga penggal terakhir di Negeri Sembilan (sebagai Ahli Parlimen Rembau) dan saya rasa episod itu sudah ditutup.
“Saya mempunyai kempen yang baik di Sungai Buloh. Walaupun tidak berjaya, saya berjaya menarik jumlah sokongan memuaskan di sana,” katanya kepada pemberita dalam satu perjumpaan anjuran Kelab Concorde baru-baru ini.
Ditanya sama ada beliau ditawarkan untuk menjadi calon Menteri Besar, Khairy berkata: “Terdapat perbincangan dengan beberapa pihak dan terdapat juga perbincangan mengenai peranan itu.”
Sementara itu, ditanya pula sama ada beliau melihat peranan sedemikian sebagai cara untuk memenuhi aspirasi menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti, beliau berkata: “Saya sudah tiga penggal di Parlimen dan saya memimpin tiga kementerian berbeza.
“Saya rasa pengalaman di peringkat negeri akan menjadi pelengkap yang bagus kepada set kemahiran sedia ada, pengalaman yang saya ada sebagai Menteri.
“Ia akan membantu saya lebih memahami kerajaan tempatan serta hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dari sudut lain.
“Saya berasakan ia satu peluang yang baik tetapi sekali lagi, saya perlu mempertimbangkan sama ada saya secara peribadi mempunyai selera untuk melompat kembali (ke dalam politik) serta-merta,” katanya.
Bagaimanapun, Khairy menegaskan, jika beliau memutuskan tidak bertanding pada PRN Selangor, beliau akan mempunyai lebih banyak masa untuk memutuskan platform seterusnya bagi kerjaya politiknya.
“Jadi, jika saya membuat keputusan untuk bertanding pada PRN, maka saya perlu membuat keputusan dalam beberapa bulan akan datang, arah mana saya akan tujui,” katanya.