BANGI, Jumaat – Tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat bencana di Johor susulan banjir yang melanda negeri itu.

Perkara itu diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri yang bermesyuarat di Putrajaya hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah berhubung tindakan segera yang perlu diambil Kerajaan Persekutuan bagi membantu Johor.

“Pada waktu ini, pandangan Jemaah Menteri adalah ke arah apa yang boleh kita (Kerajaan Persekutuan) lakukan segera termasuk meneliti aset-aset kerajaan yang mampu kita gerakkan segera,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Jumaat.Beliau berkata, kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta kepada Johor.Jumlah mangsa di Johor setakat jam 8 :00 pagi  pada Jumaat dilaporkan sebanyak 33,149 orang yang dipindahkan ke 217 pusat pemindahan sementara (PPS).

Fahmi berkata, mesyuarat Jemaah Menteri turut menumpukan perbincangan kepada usaha untuk membawa keluar mangsa yang terperangkap di kawasan yang teruk dilanda banjir iaitu dengan membina jambatan bailey.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta Jemaah Menteri untuk turun ke lokasi banjir bagi mewakili kementerian masing-masing dan mengenal pasti jenis bantuan atau keperluan yang boleh disalurkan kepada mangsa banjir.

Sehingga kini, beliau telah mendapat laporan terdapat 90 menara telekomunikasi terjejas akibat banjir dan mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk segera memperbaiki kemudahan itu.