BANGI, Khamis – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, melawat bandar Jenin di Tebing Barat semalam untuk memeriksa kemusnahan yang disebabkan oleh serangan tentera pengganas Israel baru-baru ini.
Abbas tiba di bandar itu menaiki helikopter Jordan dari bandar Ramallah dan melawat Tanah Perkuburan Syahid Jenin, tempat pengebumian rakyat Palestin yang terbunuh semasa serbuan tentera minggu lalu.
Abbas disambut oleh Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh bersama pegawai lain sebaik sahaja beliau tiba di Jenin.
“Kem Jenin adalah ikon penentangan dan ketabahan. Kem Jenin yang gagah perkasa menentang keganasan dan sedia berkorban demi tanah air, kata Abbas dalam ucapan semasa lawatannya.
Presiden Palestin menzahirkan ucapan terima kasih kepada negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Algeria atas sumbangan mereka untuk pembinaan semula kem Jenin.
Abbas berkata pihaknya akan memulakan pembinaan semula kem tersebut dengan segera.
“Baitulmaqdis Timur adalah ibu negara Palestin, kami akan tetap teguh dan tidak akan meninggalkan tanah kami,” tegas beliau.
Minggu lalu, Israel menamatkan operasi ketenteraan terbesarnya di Jenin dalam tempoh lebih 20 tahun.
Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lima kanak-kanak, dan lebih 140 cedera dalam serangan itu, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Serbuan itu juga mengakibatkan kemusnahan besar-besaran di seluruh bandar Tebing Barat, dengan berpuluh-puluh rumah, kenderaan, kedai dan talian utiliti musnah