BANGI, Khamis – Cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mewujudkan Akaun 3 bagi membantu rakyat dilihat sebagai alternatif yang lebih baik berbanding idea kerajaan yang terdahulu iaitu mencagarkan Akaun 2 kepada bank.
Bagi kebanyakan rakyat, cadangan kerajaan terdahulu untuk mencagarkan Akaun 2 itu sangat membebankan malah tidak memberi solusi yang berkesan atas masalah yang ditanggung rakyat.
Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, penubuhan KWSP adalah untuk melindungi pekerja pada masa akan datang.
Oleh itu, cadangan KWSP untuk memperkenalkan Akaun 3 ini merupakan langkah bijak bagi membantu rakyat terutamanya golongan muda yang menghadapi masalah kewangan pada masa hadapan.
“Tapi sekarang ni kalau kita lihat dalam ekonomi digital ni cara berniaga dancara individu itu bekerja telah berubah.
“Ada yang bersifat sementara, ada pula macam Grab, Foodpanda.
Oleh itu apabila struktur pekerjaan itu dah berubah maka KWSP perlu mengambil kira perkara ini dan ia akan dapat membantu golongan ini sekiranya mereka memerlukan wang kecemasan dan sebagainya di masa akan datang”, katanya,
Tambah Dr Razman, penubuhan Akaun 3 KWSP ini juga membantu dalam strategi KWSP membuat pelaburan negara.
Dengan kewujudan Akaun 3 yang akan digunakan bagi tujuan kecemasan ini, rakyat tidak lagi menggesa kerajaan untuk mengeluarkan wang simpanan dalam Akaun 1 dan 2.
“Matlamat KWSP untuk memastikan simpanan persaraan pekerja terjamin dan mereka perlu gunakan wang simpanan caruman ini untuk masuk pelaburan dan kalau ada keperluan untuk mengeluarkan itu dia akan melibatkan wang di akaun 1 dan 2 juga yang mana boleh jejaskan strategi pelaburan KWSP.
“Oleh itu kalau ada satu akaun khusus untuk masuk kecemasan maka perancangan pelaburan KWSP itu tidak terjejas dan lebih mampan.
“Untuk pencarum pula, mereka tak perlu lagi mendesak kerajaan untuk membolehkan mereka simpanan sekaligus tidak mengganggu wang persaraan mereka,” katanya semasa dihubungi TV Pertiwi hari ini.
Semalam, KWSP bercadang untuk memperkenalkan Akaun 3 yang membolehkan pengeluaran simpanan dibuat pada bila-bila masa.
Ini merupakan alternatif yang lebih fleksibel untuk memenuhi potensi keperluan tunai kecemasan pencarum.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan untuk memberi ruang kepada pencarum yang mempunyai baki akaun mencukupi dan mengalami isu ketidakcukupan tunai untuk meminjam wang dari bank dengan jaminan cagaran wang agensi berkenaan.