BANGI, Khamis – Penerokaan tanah haram rizab kerajaan dan hutan simpan di Raub, Pahang tidak boleh dibiar tanpa sebarang tindakan undang-undang meskipun projek membawa keuntungan yang besar kepada negeri.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, perkara itu akan menggalakkan perilaku jenayah dalam kalangan rakyat Malaysia atas nama keuntungan.
“Kita tidak boleh galakkan rakyat Malaysia dibiarkan membuat jenayah untuk tempoh yang lama dan kemudian memandangkan jenayah itu membawa hasil buah yang sedap ataupun keuntungan bentuk lain kepada masyarakat yang tidak mengetahui orang itu melakukan kesalahan. Kemudian kita kata biarlah bagi dia orang lesen. Tak boleh.
“Dengan cara itu, kita menggalakkan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama melakukan jenayah yang kemudiannya diampunkan.
“Adakah itu menggalakkan orang India contohnya, membuat buka kuil di tanah-tanah haram atau membuka ladang-ladang sayur yang mereka nak dilepas itu dan mereka jual kepada rakyat dan kemudian dikatakan bahawa ada hasil yang diperoleh, maka bagilah lesen walaupun mereka tak bayar cukai.
“Mereka tak bayar cukai pendapatan dan atau membayar apa-apa penyewaan tanah tersebut. Begitu juga dengan orang Melayu.
“Kalau mereka pergi apa nama ni buat apa sekalipun buat reban ayam yang dapat hasil telur, jual ayam, di tanah haram kalau bukan milik mereka dan kemudian tak bayar cukai pendapatan, tak membayar sewa kepada kerajaan yang memiliki tanah.
“Adakah kita nak mengatakan bagilah kat mereka walaupun lima puluh tahun dia buat benda itu,” katanya.
Beliau menambah, penerokaan tanah haram di Raub mencabar keluhuran perlembagaan dan undang-undang negara.
Tambahnya, pihak berkuasa wajib dipersoal kerana tiada sebarang tindakan undang-undang yang dikenakan kepada penceroboh dalam tempoh yang begitu lama.
“Jadi kalau ada pihak yang bersubahat, maka tindakan perlu diambil di atas salah guna kuasa, oleh pihak yang bersubahat di Pejabat Tanah Raub ataupun mana-mana pejabat tanah.
“Kalau ahli politik yang terlibat, maka perlu disiasat dan diambil tindakan. Jadi ini soal pematuhan undang-undang dan ketidakpatuhan undang-undang wajib bukan wajar, wajib disusuli dengan tindakan siasatan dan jika di yakini terdapat keterangan yang mencukupi, bawa ke mahkamah,” ujarnya.
Sebelum ini, keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn. Bhd. (RPDR-PKPP) untuk membatalkan prosiding semakan kehakiman yang dibawa pekebun durian musang king.