BANGI, Khamis – Walaupun sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu, sehingga kini isu pencerobohan tanah di Raub, Pahang yang dijadikan sebagai kebun durian musang king masih menjadi tanda tanya.
TV Pertiwi meninjau kembali isu pencerobohan tanah secara haram oleh golongan pekebun durian musang king.
Kebanyakan ladang dan kebun durian di sekitar Raub diusahakan di atas tanah milik kerajaan negeri dan hutan simpan secara haram serta diusahakan tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.
Pencerobohan ini berlaku bermula di kawasan Hutan Simpan Kekal Batu Talam seterusnya ke Hutan Simpan Gunung Benom dan meluas sehingga sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan banyak lagi kawasan tanah milik kerajaan Pahang.
Bermula dengan satu kawasan kecil, kini keluasan tanah pencerobohan mencecah 4,400 hektar daripada kawasan tanah landai hingga ke tebing sungai.
Apa yang menjadi persoalan besar hari ini, mengapa golongan penceroboh tersebut tidak diambil tindakan sehingga kini?
Penerokaan haram tanah rizab kerajaan dan hutan simpan yang keluasannya mencecah ribuan hektar di beberapa daerah di Pahang sudah lama diperkatakan iaitu kira-kira 40 tahun lalu.
Pelbagai pihak daripada agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) sudah menyuarakan isu ini, namun kes ini masih belum menemukan jalan keluar.
Pada 1 Ogos 2020, Kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian yang diusahakan secara haram di atas tanah milik kerajaan negeri di Raub.
Kerajaan Pahang telah mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai daripada penerokaan kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.
Dua notis permohonan semakan kehakiman pula telah difailkan di Mahkamah Tinggi di mana kumpulan pertama melibatkan 110 pekebun memfailkannya pada 21 Ogos 2020 dan diikuti kumpulan kedua melibatkan 94 pekebun pada 9 Disember tahun sama.
Pada 23 Disember 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan plaintif iaitu pekebun yang terlibat tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.
Pada Julai 2021, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebuah operasi penguatkuasaan di kebun durian musang king dijalankan dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub mengikut peruntukan undang-undang.
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sudah menebang pokok durian musang king di kawasan seluas 85 hektar selepas ia ditanam secara haram di Hutan Simpan Batu Talam di Raub, Pahang dengan kerjasama daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk membantu kelancaran operasi selepas berlaku tindakan provokasi selain jambatan dirosakkan.
Namun, pada 4 Julai 2023, Mahkamah Tinggi Kuantan telah menolak permohonan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn. Bhd., (RPDR-PKPP) untuk membatalkan prosiding semakan kehakiman yang dibawa pekebun durian musang king.
Mahkamah juga telah memerintahkan responden keenam iaitu RPDR-PKPP membayar kedua-dua kumpulan pekebun RM10,000 setiap kumpulan iaitu secara keseluruhan RM20,000 sebagai kos mahkamah.
Kesemua 204 pekebun durian seluas kira-kira 2,167 hektar itu memfailkan permohonan dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, Kerajaan Negeri Pahang, PPP dan Royal Durian Resources
PKPP Sdn. Bhd.
Baru-baru ini, hampir 500 orang menyertai perhimpunan bersama wakil rakyat DAP untuk membawa isu ini yang dikatakan menindas hak mereka sebagai pengusaha kebun menunjukkan penambahan individu yang cuba untuk merampas tanah kerajaan.
Ahli parlimen Raub, Chow Yu Hui pula menuntut penceroboh haram ini diberi lesen dan menyifatkan penceroboh itu layak diambil pertimbangan mengikut hak di bawah suhakam.
Penceroboh mendakwa mereka telah banyak berkorban dalam mengusahakan tanah tersebut.
Sehingga ke hari ini, isu pencerobohan tanah pekebun durian di Raub ini masih tidak mampu diselesaikan.
Ada pihak mendakwa, isu ini ada kena mengena dengan kuasa kuasa besar di Malaysia.
Bagaimanapun, dimanakah kerajaan dalam menyelesaikan isu ini? Adakah isu ini akan dibiarkan sehingga hak orang Melayu habis dirampas orang luar? Adakah keadilan masih lagi akan berpihak bersama kita? Kami masih menunggu jawapan.