BANGI, Khamis- Selepas kecewa dengan Kerajaan Madani yang hanya memberikan ‘omong kosong’, MUDA tekad dengan pendirian untuk bertanding secara solo bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE15) di enam negeri, 12 Ogos ini.
Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi mencalonkan diri beliau untuk bertanding di DUN Seri Serdang yang sebelum ini dimenangi Dr Siti Mariah Mahmud daripada AMANAH.
MUDA turut meletakkan calon di DUN Batu Tiga yang kuasai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail iaitu Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen.
Kedua-dua kawasan ini merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) dan tindakan MUDA meletakkan calon di kawasan DUN ini dilihat bagi mematahkan undi rakyat kepada PH.
Pengumuman calon kumpulan pertama hari ini turut menamakan Melanie Ting Yi-Hlin sebagai calon yang akan bertanding di DUN Bukit Antarabangsa yang dimenangi bekas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bagi calon terakhir yang diumumkan tadi, MUDA turut mencabar DUN Sentosa dengan meletakkan R. Thanusha sebagai calon di kawasan yang ditadbir Gunarajah R George dari PKR.
Majoriti DUN Sentosa ini terdiri daripada kaum India dengan populasi sebanyak 38.2 peratus diikuti Melayu 26.0 peratus dan Cina 35.4 peratus.
Sebelum ini, MUDA membuat kejutan untuk bertanding solo setelah kecewa dengan pemerintahan Kerajaan Madani yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
MUDA membuka pencalonan kepada orang awam yang berminat untuk menjadi perwakilan pada pilihan raya di enam negeri akan datang.