BANGI, Khamis – Status Pulau Pinang sebagai sebuah negeri masih hangat diperkatakan apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara terbuka menyatakan Pulau Mutiara itu milik negerinya.
Malah, naratif sejarah Pulau Pinang sering menjadi polemik dalam kalangan ahli akademik dan ahli-ahli politik.
Masih ada pihak yang mendakwa negeri itu hanyalah tanah milik Kedah yang dipajak.

Prof Murad sebagai panel jemputan program Merungkai Cerita Kedah /Pulau Pinang di UKM pada Rabu. Foto: FB ATMA
Menurut Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican dari Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa, kajiannya menyebut, Sultan Kedah ketika itu dan Francis Light sebenarnya tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian atau surat pajakan berkaitan penyerahan Pulau Pinang.
Beliau berkata, naratif mengenai pajakan Pulau Pinang daripada Kedah perlu diperbetulkan kerana tiada bukti menunjukkan perjanjian itu benar-benar berlaku pada tahun 1786.
“Kalau tengok tahun 1786, tidak ada pajak, tidak ada dokumen, tidak ada perjanjian, tidak ada tandatangan, maksudnya di sini, 1786 tidak ada apa yang berlaku.
“Jadi pendudukan Francis Light itu adalah secara haram dan tahun 1791 perjanjian itu dibuat secara paksa.
“Tetapi kalau kita melihat naratif yang menjurus kepada perjanjian itu, naratif itu juga tidak betul sebab ia memperlihatkan bahawa Sultan Kedah nak merampas Pulau Pinang walhal Pulau Pinang itu adalah harta dia, bukan merampas, bukan cuba menggunakan kekerasan, tetapi naratif menunjukkan Sultan Kedah orang jahat dan British orang baik,” katanya.
Dr Murad menegaskan, perbincangan mengenai status Pulau Pinang bukan bertujuan mencabar Perlembagaan tetapi untuk memperbetulkan perspektif yang berbeza sebelum ini.
“Pulau Pinang ini lahir dari tali pusat Kedah, tali perut Kedah. Bukan soal pemilikan, ini soal tali perut, mengapa perkara ini dibangkitkan sekarang?” katanya.

Panel jemputan, Pakar Sejarah dari Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali (tengah), Pakar Arkeologi UKM, Profesor Madya Dr Asyaari Muhammad (dua dari kanan) dan Pengasas Jurispunden Watan ISTAC, UIAM, Datuk Prof. Madya Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (kiri). Foto: FB ATMA
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai panel jemputan dalam Program Bicara Persada ke-64: Dari Naratif Sejarah: Merungkai Cerita Kedah /Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan Canseleri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Rabu.
Turut menjadi panel jemputan, Pakar Sejarah dari Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, Pakar Arkeologi UKM, Profesor Madya Dr Asyaari Muhammad dan Pengasas Jurispunden Watan ISTAC, UIAM, Datuk Prof. Madya Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.