BANGI, Khamis – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinasihat melakukan taubat nasuha dan tidak menjadikan semua perkara sebagai bahan kempen yang merosakkan diri sendiri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, politik bukan bahan lawak atau gurauan dan tidak perlu bagi beliau berbahas dengan individu tidak bijaksana dalam mentafsir fakta dan auta.
“Politik ini bukan bahan lawak, bukan bahan untuk bergurau, fakta adalah fakta.
“Bagaimana Perikatan Nasional (PN) dititah mengadap (Yang di-Pertuan Agong), begitu juga Pakatan Harapan (PH) dititah mengadap.
“Selepas itu saya mewakili Barisan Nasional (BN) bersama dua rakan lain serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kalau itu satu tuduhan oleh seorang yang mengetuai kerajaan negeri dan pegangannya adalah Islam, saya harap taubat nasuha diutamakan oleh beliau supaya tidak semua perkara dijadikan bahan kempen yang akhirnya merosakkan diri sendiri,” katanya pada sidang media di Putrajayahari ini.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, dalam ceramah di program Jelajah Selangor malam kelmarin dikatakan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memandai-mandai dan menggunakan titah Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan.
Dalam ceramah itu, Muhammad Sanusi dikatakan turut menghina Sultan Selangor atas pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, selain beberapa serangan peribadi terhadap menteri dalam Kerajaan Persekutuan.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak perlu menjawab perkara yang sudah menjadi fakta.
“Ia akan jadi satu isu ‘bodoh’ jika saya berbahas kepada orang yang tidak begitu bijaksana dalam mentafsirkan antara fakta dan auta,” katanya.
Mengenai dakwaan undi kepada Datuk Seri Najib Razak akan berpindah kepada PN berikutan kekecewaan penyokong terhadap layanan Kerajaan Perpaduan kepada bekas Perdana Menteri itu, Ahmad Zahid berkata, usaha parti tetap terus berjalan.
“Ketika bertemu Najib sebelum ini, perkara itu dinyatakan kepada saya supaya kita jangan terjebak dengan permainan pihak luar.
“Usaha parti berjalan begitu juga proses keadilan tetap dilakukan. Kita perlu pisahkan antara soal keadilan dan usaha dan ini tidak perlu dijelaskan kepada umum,” katanya.