BANGI, Jumaat – Lebih 60 laporan polis dibuat berikutan tuntutan siasatan terhadap penceroboh haram musang king yang jelas didapati sebagai penceroboh tanah dalam kawasan hutan simpan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang.
Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Masridzi Sat menggesa pihak berkuasa membuat siasatan serta mengenakan tindakan undang-undang kepada penceroboh haram yang mengambil tindakan undang-undang sivil kepada Kerajaan Negeri Pahang.
“Kami adalah orang yang nak membantu atau membela supaya tanah-tanah yang diceroboh dan kerajaan negeri yang perlukan sokongan, agensi-agensi yang perlukan bantuan daripada NGO dan nasib-nasib veteran dan mereka berjuang demi tanah Melayu yang telah mohon tanah bertahun-tahun tidak dapat sebagainya, ditolak permohonan mereka.
“Sedangkan penceroboh boleh puluhan ribu ekar ratusan ribu ekar mereka boleh ceroboh dengan senang-senang tanpa sebarang dakwaan, tanpa sebarang tindakan, ini yang kita rasa tidak betul dan kita minta perbetulkan.
“Kita harapkan pihak berkuasa, kerajaan, jabatan hutan, ptg dan sebagainya, jalankan mengikut undang2 yang ada, jangan takut, dakwalah, dakwalah seperti mana yang kamu pernah dakwa pribumi Melayu yang menceroboh tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Pahang semalam.
Mengulas lanjut, Masridzi berkata, pihak berkuasa mempunyai kuasa di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984 yang memperuntukkan kuasa membuka kertas siasatan jenayah penceroboh tanah.
Masridzi meminta agar tindakan sama dapat diambil daripada keputusan Mahkamah Sesyen Taiping menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM50,000 terhadap seorang bekas tentera kerana didapati bersalah menceroboh hutan simpan kekal tanpa kebenaran yang didakwa mengikut Seksyen 32 (1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.
Sebagai rekod, pada 21 Disember 2020, Kerajaan Negeri Pahang mengeluarkan notis pengosongan kebun musang king pelbagai kawasan seluas 2,167 hektar di Raub, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Sungai Klau selewat-lewatnya pada 4 Jan 2021.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk menangguhkan notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan Pahang sehingga rayuan mereka diselesaikan.