BANGI, Jumaat – Pelakon dan pengarah, Ahmad Ibrahim atau dikenali sebagai Mat London, 74, menghembuskan nafas terakhir akibat pelbagai komplikasi penyakit di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 5.57 pagi hari ini.
Berita pemergian beliau disahkan oleh anaknya, Salmany Akir Ahmad menerusi Facebok, pada pagi Jumaat.
“Sesudah laungan azan subuh… Papa menghembuskan nafas terakhir di hening pagi yang masih sepi di pagi Jumaat,” tulisnya.
Ahmad Ibrahim dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur sejak 16 Jun lalu.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Al-Mardhiyah Taman Melawati pagi ini dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Taman Melawati, selepas solat Jumaat.-
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru, hari ini.
Fahmi menerusi catatan di Facebook, mendoakan semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian itu.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,”menurut catatan itu.