BANGI, Jumaat – Orang Melayu tidak lagi mahu memilih UMNO sebagai parti yang boleh dipercayai akan memperjuangkan hak orang Melayu.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pembangunan Pendidikan dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Dr. Abd Razak Zakaria berkata, kemerosotan sokongan UMNO berpunca daripada pucuk kepimpinan parti itu sendiri.
Sekiranya ia tidak dikawal, UMNO mungkin akan hilang sepenuhnya kepercayaan dari orang Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRN DUN KE15) pada 12 Ogos ini.
“Dan kita nampak orang Melayu sendiri pun tidak bersetuju lagi dah dengan UMNO.
“Sebab pujuk kepimpinan yang masih lagi pada tahap yang lama dan tidak memberi peluang kepada jenis baru.
“Dan kalau ini tak dilakukan, mungkin 1, 2, 3 kali lagi PRU, UMNO tu mungkin dah hilang sebagai sebuah parti,” jelasnya.
Dr. Abd Razak ketika ditemu bual TV Pertiwi berkata, UMNO sudah tidak mampu menabur janji manis untuk membeli undi rakyat bagi memilih parti itu memimpin Malaysia.
Rakyat sudah tidak lagi percaya bulat-bulat janji palsu ahli politik pada kempen pilihan raya sebaliknya mempunyai teknologi untuk membuat kajian untuk memilih parti yang akan menjadi kerajaan.
“Dan kalau kita lihat kepada rakyat Malaysia ni sekarang kita tak boleh bandingkan dengan pengundi abad ke-20 dengan abad ke-21.
“Pengundi abad ke-20, mereka terima bulat bulat melalui TV dan sebagainya.
“Tetapi pengundi abad ke-21, mereka boleh mendapatkan maklumat di hujung jari dan mereka tidak mudah dipancing dengan umpan sebagaimana yang abad ke-20”, katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menunjukkan UMNO tidak lagi diterima orang Melayu berikutan kes mahkamah yang berleluasa dalam parti tersebut.
Tindakan UMNO yang kemudiannya bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Madani membunuh lagi kepercayaan orang Melayu terhadap parti keramat orang Melayu itu.