BANGI, Jumaat – Rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang kekal komited kepada janji-janji mereka serta menjunjung nilai ketelusan, keterangkuman dan tidak retorik.
Ia susulan kos elektrik yang tinggi dan kejatuhan nilai mata wang ringgit menjadi faktor defisit perdagangan lebih tinggi serta memburukkan lagi keadaan ekonomi ekoran negara turut bergantung kepada import makanan.
Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Shahrulufti Sharif berkata, kesan kenaikan harga makanan tersebut turut dirasai berdasarkan tahap pendapatan dan tabiat penggunaan yang berbeza.
“Kesan kenaikan harga makanan dirasai merentasi populasi, dengan tahap kesukaran yang berbeza-beza berdasarkan beberapa faktor iaitu tahap pendapatan, tabiat penggunaan, peranan individu sebagai pengeluar atau pengguna makanan, perkadaran perbelanjaan makanan, dan harga penghantaran pasaran global ke pasaran tempatan,” kata Shahrulufti melalui kenyataan di Facebooknya.
Dalam kenyataan itu, katanya, program perlindungan sosial seperti pemindahan makanan dan sokongan pendapatan perlu diwujudkan dengan tumpuan kepada program pemakanan awal kanak-kanak untuk komuniti miskin di kawasan bandar serta luar bandar bagi mengatasi isu tersebut.
Bukan setakat itu sahaja, katanya, kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam mengawal harga dan menstabilkan bekalan makanan melalui tempat penyimpanan bahan makanan penting serta mekanisme pelepasan ke pasaran ketika harga meningkat.
Dalam pada itu, Shahrulufti berkata, sistem pergudangan yang berkesan dan rangkaian pengedaran perlu ditingkatkan selain penguatkuasaan terhadap amalan perdagangan yang tidak adil serta skim subsidi yang direka dengan baik.
PUTRA turut mencadangkan penambahbaikan dalam sektor pertanian dengan meningkatkan pelaburan dalam R&D pertanian, infrastruktur luar bandar, pembangunan keusahawanan dan kemudahan akses pasaran untuk petani berskala kecil.
Justeru, beliau berharap kesan negatif kenaikan harga makanan dan inflasi dapat dikurangkan dengan ketara dengan mengambil langkah-langkah yang dicadangkan.