BANGI, Jumaat – Tindakan undang-undang harus dikenakan terhadap pengusaha ternakan ayam di kandang babi yang tular baru-baru ini kerana ia jelas melanggar Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020.
Setiausaha Agung Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa menggesa pihak berkuasa menyita ladang babi tersebut dan mengenakan denda dengan jumlah yang tinggi.
“Jadi tindakan-tindakan yang sewajarnya patut dilakukan. Okey antaranya adalah menyita kandang ternakan tersebut ataupun memberikan menyaman dengan denda yang tinggi dan seumpamanya.
“Walaupun ada di sana peruntukan-peruntukan tertentu yang dibuat bagi sesiapa yang melanggar undang-undang tetapi sewajarnya diberikan pengajaran yang lebih jelas kepada mereka yang melakukan perkara tersebut,” katanya.
Beliau juga menegaskan, status umat Islam sebagai golongan majoriti dalam negara yang sangat menitikberatkan soal pemakanan.
Penternakan ayam bersama kandang babi perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa kerana melibatkan sumber makanan bagi umat Islam.
Tambah beliau, tiada toleransi diberikan kepada golongan yang mencabuli perkara ini.
“Jadi agama meminta ataupun agama menyarankan untuk kita mengasingkan menjelaskan mana yang haram, mana yang halal. Dalam masa yang sama, bilangan majoriti umat umat Islam di negara ini adalah satu kumpulan majoriti yang perlu diraikan, perlu dilihat.
“Dan apakah kesan-kesan yang bakal menimpa kepada rantaian pemakanan mereka. Jadi oleh kerana itu, sebarang perkara-perkara yang melibatkan makanan asasi ataupun melibatkan keperluan-keperluan asasi umat Islam perlu dipandang serius dan tidak boleh diberikan sebarang bentuk toleransi kepada mereka yang mencabuli perkara ini,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan, terdapat sebuah ladang di Seberang Perai, Pulau Pinang yang menternak babi bersama ayam dalam satu kawasan yang sama.
Bagaimanapun, JPV meminta orang ramai tidak menyiarkan video berkenaan bagi mengelakkan kerisauan kepada orang awam.