BANGI, Jumaat – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Zon Pahang Barat melakukan serbuan di satu kawasan yang menjalankan aktiviti pembukaan tanah secara haram di atas tanah kerajaan di Raub semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau berkata, anggota UPNP Zon Pahang Barat telah melakukan rondaan penguatkuasaan sekitar daerah Raub kira-kira jam 3.30 petang.
Tambahnya, anggota UPNP mendapati sebuah jentera jengkaut sedang melakukan kerja-kerja membersihkan sekitar di Sungai Rambai.
“Anggota operasi telah bertindak menahan jengkaut tersebut, namun pemandu jengkaut itu melarikan diri terlebih dahulu setelah menyedari kehadiran anggota UPNP.
“Kemudiannya, seorang lelaki telah tampil dan memperkenalkan diri sebagai pemilik jengkaut dan pegawai serbuan telah meminta pemilik jengkaut tersebut memberi dokumen kelulusan atau permit berkenaan aktiviti yang dilakukan namun gagal,” ujarnya.
Jelas beliau, anggota UPNP kemudiannya bertindak merampas jentera tersebut untuk tujuan siasatan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu pendudukan secara tak sah di atas tanah kerajaan.
“Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan negeri tidak sesekali berkompromi dengan sebarang aktiviti penerokaan tanah secara haram di mana-mana kawasan pun di negeri ini.
“Malah, saya juga telah meminta UPNP untuk meneruskan operasi penguatkuasaan setiap masa bagi memastikan aktiviti sebegini dapat dibanteras dengan sebaik-baiknya,” katanya.