BANGI, Jumaat – Seorang wanita warga emas menangis teresak-esak saat dibawa masuk ke pekarangan Mahkamah Majistret, Selayang bagi menghadapi pertuduhan kes simbah asid terhadap pasangan suami isteri hari ini.
Suspek berusia lingkungan 60-an terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Suspek diiringi anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Selayang, hari ini kerana terbabit dengan kes simbah asid sepasang suami isteri.
Pada Khamis lalu, Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan polis berkenaan satu kejadian simbah asid yang berlaku di Pangsapuri Laksamana Jaya Batu Caves.
Laporan itu diterima pada 4 Julai, jam 3.10 pagi oleh pengadu yang merupakan anak kandung kepada mangsa berkenaan.
Hasil siasatan awal mendapati, semasa kedua-dua mangsa bersama seorang anak lelaki berumur 14 tahun sedang masuk ke dalam sebuah lift pangsapuri, suspek yang tidak dikenali datang bertindak menyimbah asid ke arah kedua-dua mereka dari arah luar lif.
Lantaran itu, kedua-dua mangsa meminta bantuan orang awam untuk menghantar ke Hospital Selayang bagi menerima rawatan.
Kejadian tersebut turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan pangsapuri terbabit yang kemudiannya tular di media sosial.
Mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara Pakistan yang merupakan peniaga roti naan telah menerima rawatan di Hospital Selayang dan telah dibenarkan pulang.
Selepas enam hari kejadian berlaku, suspek ditahan reman bagi membantu siasatan.