BANGI, Sabtu – Perikatan Nasional diramal mampu menang sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Tawfik Yaakub berkata, gelombang alternatif itu akan bergerak lebih besar di Pulau Mutiara berdasarkan isu nasional dan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Sekurang-kurangnya sembilan atau sepuluh kerusi boleh dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) berdasarkan kepada persekitaran politik semasa di Pulau Pinang, isu-isu nasional dan kita juga jangan lupa pada PRU15 yang lalu tiga kerusi yang merupakan kerusi kubu kuat kepada PKR dan UMNO iaitu di Permatang Pauh, di Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor akhirnya tumbang pada waktu itu.
“Ini melambangkan kubu-kubu kuat yang dikuasai oleh parti-parti tersebut berjaya ditembusi oleh parti lawan dan ini juga memungkikan bahawa kerusi-kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen berkenaan akan juga berhadapan dengan situasi yang sama,” katanya.
Berkata kepada TV Pertiwi pada Selasa, Dr tawfik mengulas, faktor lain seperti 15 kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang juga akan memberi laluan mudah kepada PN dan memberi persaingan sengit kepada pimpinan negeri itu iaitu Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berpandangan tidak mustahil untuk gabungan parti itu memenangi kerusi DUN Pulau Pinang menghampiri jumlah majoriti mudah pada PRN akan datang.
Untuk rekod, keputusan PRU14 pada 2018 menyaksikan PH yang ketika itu dibarisi Parti Keadilan Rakyat (PKR), BERSATU, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menang bergaya di Pulau Pinang.

Bilangan kerusi DUN Pulau Pinang.
Di Pulau Pinang, PH berjaya memenangi 37 kerusi daripada 40 kerusi DUN dipertandingkan manakala BN mendapat dua kerusi dan PAS, satu kerusi.
Namun, pada Mac tahun ini, Persidangan DUN Pulau Pinang meluluskan usul pengisytiharaan kekosongan empat kerusi yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU di bawah Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
Ia susulan empat ADUN tersebut telah bertukar parti.