BANGI, Sabtu – Permohonan maaf Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak boleh diambil kira sebagai penyelesaian kerana ia melibatkan kesalahan undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, walaupun kebebasan bersuara merupakan hak perlembagaan setiap warga Malaysia di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, kebebasan ini tertakluk kepada Perkara 10(2) bagi memastikan ketenteraman dan keamanan terjamin.
“Sesiapa sahaja yang membangkitkan isu-isu yang membelah bahagi, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi raja-raja, harus ingat bahawa ini adalah satu kesalahan di sisi undang-undang dan tidak akan terselesai atas alasan memohon maaf kerana permohonan kemaafan bukan satu pembelaan dari segi undang-undang (legal defence) dalam perundangan jenayah.
“Biarlah Polis Diraja Malaysia diberi kebebasan untuk siasat sesiapa sahaja yang membangkitkan isu 3R yang melanggar mana-mana undang-undang tanpa campur tangan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Saya ingin membawa perhatian kepada tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri @SanusiMNor, di mana beliau telah dalam ceramah politiknya, mempersoalkan kewibawaan Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan pemilihan Menteri Besar #Selangor baru-baru ini.
Kerajaan mahu tegaskan…
— Azalina Othman Said (@AzalinaOthmanS) July 15, 2023
Jelasnya lagi, Sanusi dalam ceramah politiknya, dilihat mempersoalkan kewibawaan Sultan Selangor berkaitan pemilihan Menteri Besar Selangor baru-baru ini.
“Sebagai orang politik atau mana-mana orang yang dikurniakan kuasa, kita harus sedar bahawa pertuturan kita ada kuasa untuk mempengaruhi orang ramai, terutama sekali dalam musim pilihan raya,” katanya.
Setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 31 laporan di seluruh negara membabitkan kenyataan Sanusi yang didakwa mempertikai kewibawaan institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan menteri besar negeri itu.

Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor, dakwa kenyataan diputar belit.