BANGI, Sabtu – Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan MUDA mengumumkan mereka akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar berkata, dalam kerjasama itu, kedua-dua parti sudah setuju untuk tidak bertembung dalam kerusi DUN yang akan ditandingi.
“Kita tidak akan bertindih dalam kerusi yang ditandingi. Di kerusi yang ditandingi PSM, MUDA tidak akan bertanding dan sebaliknya.
“Ini hanya langkah pertama dan kami berharap dapat bekerjasama untuk membawa politik baru yang lebih bersih untuk negara,” katanya dalam satu sidang media bersama MUDA pada Sabtu.

Muda dan PSM umum kerjasama dalam PRN.
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman percaya, kerjasama ini merupakan titik sejarah bagi kedua-dua parti dengan berlandaskan lima prinsip.
“Pertama, menolak politik perkauman, kedua untuk mengangkat nasib rakyat terbanyak dan terpinggir, ketiga mengangkat demokrasi yang tulen, keempat adalah untuk pembangunan yang seimbang dan inklusif dan kelima untuk mengangkat isu-isu alam sekitar dan perubahan iklim.
“Sebagai presiden, MUDA akan turun, kempen, bantu PSM, tidak kira menang atau kalah akan bersama-sama,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata, rakyat kini mempunyai alternatif dengan memilih MUDA-PSM pada pilihan raya akan datang.
Sebelum ini, MUDA memutuskan untuk bergerak secara solo pada PRN di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
Syed Saddiq berkata, keputusan itu dicapai secara konsensus selepas mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk penyokong parti itu.