BANGI, Ahad – Warganegara Malaysia sepatutnya menghormati agama Islam di negara ini yang menjadi agama Persekutuan.
Tidak salah untuk sayang kepada agama, bangsa dan negara ini asalkan tidak memburukkan agama lain serta membenci mereka dan bersifat rasis.
Pegawai Penyelidik IRIS Institute, Fahmi Bahrudin berkata, perkara itu sepatutnya perlu ada dalam diri warganegara Malaysia dengan semangat perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain.
Malah katanya, orang Melayu yang menjadi kaum majoriti di negara ini sebenarnya mempunyai sikap terbuka dan menghargai orang luar sejak dahulu lagi seperti zaman Kerajaan Melayu Melaka.
“Bangsa Melayu adalah bangsa yang sangat terbuka, mereka adalah bangsa yang sangat menghargai orang luar walaupun pada satu masa memakan diri sendiri tetapi satu sudut memang itu fitrah kita, jadi sebenarnya momokan atau nilai semangat kebangsaan Melayu dan Islam ini adalah satu perkara yang membawa kepada ekstremis, seperti hapuskan tokong dan sebagainya.”
“Sebenarnya satu kesilapan yang kita nyatakan bahawa ini adalah salah sepatutnya bukan itu yang akan berlaku pun hatta kalua kita lihat Kerajaan Melayu Melaka ramainya orang berdagang dari luar yang berbilang agama, berbilang bangsa tak ada cerita berlaku pembunuhan kecuali mereka pengkhianat kepada negara mereka dan ditangkap.”
“Tetapi jika sebaliknya mereka tunduk menjadi warganegara yang patuh, sayangkan negaranya maka dibiarkan kebebasan untuk beragama mereka. Tak ada isu pun di situ,” katanya ketika menjadi panel dalam dalam rancangan Pertiwi Podcast baru-baru ini.
Tambah Fahmi, mereka yang menganggap Islam dan Melayu menjadi penghalang kepada kemajuan serta perpaduan adalah individu masih terperangkap dengan naratif yang dibawa penjajah.
Justeru katanya, fahaman serta cara fikir ini harus diperbetulkan dan penting dalam mendidik generasi akan datang supaya tidak bersifat ekstremis.
“Satu masalah kenapa tidak berlakunya semangat Melayu Islam ni seolah-olah menjadi satu perkara yang salah.”
“Adakah salah untuk seorang Melayu merasa sayang dengan bangsanya, merasa sayang kepada Islam sedangkan perkara itu satu fitrah manusia tetapi seolah-olah dipaksakan ini adalah salah! Kita kena berbilang bangsa tetapi semangat tersebut bukan menyuruh kita membenci bangsa lain tapi seolah-olah ia tidak boleh dicakap.
“Mereka ini adalah kelompok yang masih terperangkap naratif kolonial yang menganggap bahawa Islam dan Melayu ini penghalang kepada kemajuan dan sebagainya. Ia adalah satu pandangan salah yang sepatutnya kita perbetulkan dan berkempen untuk hilangkan naratif ini,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mendakwa gelombang hijau bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang ketika berucap dalam program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore-Malaysia’ pada 7 Julai lalu.
Berikutan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kenyataan itu yang menyentuh isu 3R ( agama, raja dan kaum) serta ia akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara secepat mungkin.