BANGI, Ahad – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjadi sebutan apabila pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terpaksa bersesak menaiki bas perantaraan.
Perkara itu disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi apabila kemudahan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabngsa Kuala Lumpur (KLIA) rosak lagi.
“Mana Datuk Tiong King Sing? Beliau Menteri Pelancongan. Tidak mahu serbu KLIA kali kedua? Hari itu dia sebok pasal wanita warga China. Ini melibatkan ribuan pelancong setiap hari. Kenapa diam?” Puad berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.

Keadaan sesak dalam sebuah bas KLIA yang menyebabkan ada penumpang yang terpaksa berdiri.
Tambahnya, keadaan itu juga menyebabkan imej negara maju terpadam apabila pelancong bersesak seperti sardin dalam tin ketika menaiki bas perantaraan kerana KLIA adalah pintu masuk pelancong luar negara.
Beliau juga mengkritik tugas membaik pulih aerotrain yang lambat kerana kemudahan tersebut dianggap kelas pertama tetapi dengan penyelenggaraan kelas bawah.
Malah, sewaktu beliau ke Jeddah pada 17 Jun lalu, aerotrain tersebut sudah pun rosak dan berlarutan sehingga beliau pulang ke tanah air.
Dalam pada itu, Malaysia Airport Berhad juga dipersoalkan kerana penumpang dan pelancong dimuatkan dalam satu bas sehingga ada yang berdiri dalam bas tersebut dengan bagasi tangan mereka yang juga menjejaskan keselesaan warga emas.
Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke KLIA sekali lagi bagi memantau keadaan tersebut.