BANGI, Ahad- Jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya mempersoalkan aktiviti pencerobohan tanah yang kerap kali berlaku kerana ia seolah-olah golongan itu tidak lagi gusar dengan rondaan dan serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa.
Beliau turut berasakan bahawa, pihak penceroboh mula berasa selamat kerana wujudnya bayangan wakil rakyat atau parti politik yang membela malah memperjuangkan nasib mereka yang kononnya diperkotak-katikkan.
“Apakah ini kerana perasaan ‘selamat’ yang timbul kerana berasakan akan ada wakil rakyat atau parti politik yang akan memperjuangkan nasib mereka?” katanya.

Jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya di IPD Raub Pahang bersama barisan Persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam.
Ujar beliau, tidak mustahil penceroboh tersebut dengan liciknya akan mengambil kesempatan terhadap Ahli Parlimen yang kini dilihat cuba menjadi juara dalam membantu mereka mendapatkan geran tanah milik kerajaan.
“Tidak mustahil jika mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab akan licik mengambil kesempatan dengan harapan ahli parlimen Raub akan bantu mereka dapatkan geran,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut tidak menolak kemungkinan satu hari nanti Raub akan dikenali sebagai ‘Syurga Penceroboh’.
Orang-orang kampung tempatan hanya melopong melihat tanah-tanah pusaka nenek moyang mereka lesap begitu sahaja.
Pencerobohan ini berlaku bermula di kawasan Hutan Simpan Kekal Batu Talam seterusnya ke Hutan Simpan Gunung Benom dan meluas sehingga sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan banyak lagi kawasan tanah milik kerajaan negeri Pahang.
Bermula dengan satu kawasan kecil, kini keluasan tanah pencerobohan mencecah 4,400 hektar daripada kawasan tanah landai hingga ke tebing sungai.
Antara rentetan kejadian penceroboh haram di Raub, Pahang adalah pada, 1 Ogos 2020, Kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian yang diusahakan secara haram di atas tanah milik kerajaan negeri di Raub.
Kerajaan Pahang telah mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai daripada penerokaan kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.
Dua notis permohonan semakan kehakiman pula telah difailkan di Mahkamah Tinggi di mana kumpulan pertama melibatkan 110 pekebun memfailkannya pada 21 Ogos 2020 dan diikuti kumpulan kedua melibatkan 94 pekebun pada 9 Disember tahun sama.
Pada 23 Disember 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan plaintif iaitu pekebun yang terlibat tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.
Pada Julai 2021, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebuah operasi penguatkuasaan di kebun durian musang king dijalankan dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub mengikut peruntukan undang-undang.
Namun, pada 4 Julai 2023, Mahkamah Tinggi Kuantan telah menolak permohonan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn. Bhd., (RPDR-PKPP) untuk membatalkan prosiding semakan kehakiman yang dibawa pekebun durian musang king.
Mahkamah juga telah memerintahkan responden keenam iaitu RPDR-PKPP membayar kedua-dua kumpulan pekebun RM10,000 setiap kumpulan iaitu secara keseluruhan RM20,000 sebagai kos mahkamah.
Kesemua 204 pekebun durian seluas kira-kira 2,167 hektar itu memfailkan permohonan dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, Kerajaan Negeri Pahang, PPP dan Royal Durian Resources PKPP Sdn. Bhd.
Setelah itu, hampir 500 orang menyertai perhimpunan bersama wakil rakyat DAP untuk membawa isu ini yang dikatakan menindas hak mereka sebagai pengusaha kebun menunjukkan penambahan individu yang cuba untuk merampas tanah kerajaan.
Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui pula menuntut penceroboh haram ini diberi lesen dan menyifatkan penceroboh itu layak diambil pertimbangan mengikut hak di bawah SUHAKAM.