BANGI, Ahad – Rakyat diingatkan supaya tidak cuai, lalai dan terlalu selesa tatkala negara sering dibadai dengan pelbagai permasalahan yang menggugat hak serta keistimewaan orang Melayu.
Amaran itu disuarakan oleh Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Katanya, jika Melayu tidak mahu bersatu padu disebabkan perbezaan politik, tidak mustahil Melayu akan merempat dalam negara sendiri.
“Kalau kita tak berubah perangai, kita masih nak bercakap tentang berpartian, kita masih nak berpecah belah disebabkan oleh perbedaan fahaman ideologi politik, saya rasa inilah yang akan memakan balik orang Melayu.
“Tidak mustahil sepertimana kata Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya orang Melayu berpecah belah, tidak mahu bersatu padu, akhirnya kita bakal merempat di tanah air kita.
Beliau berkata demikian dalam satu temubual eksklusif bersama TV Pertiwi di Rembau, Negeri Sembilan, semalam.
Tambahnya, memetik kata-kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, orang Melayu sukar untuk disatupadukan melalui platform dan struktur politik kerana cara yang terbaik adalah dengan menyatukan mereka atas dasar bangsa.
Lantaran itu, Khairuddin berkata, kerana itulah Tun M mengilhamkan Poklamasi Orang Melayu yang tidak berteraskan kepada kepartian kerana perjuangan yang dilakukan adalah berteraskan Melayu.
Mengulas lanjut, orang Melayu yang memegang kekayaan ekonomi pada hari ini hanya lebih kurang 17 peratus, malah Tanah Rizab Melayu hanya tinggal 11 peratus.
Justeru, beliau menasihatkan agar Melayu berubah dan bersatu padu agar tidak kehilangan kuasa di bumi sendiri sebelum nasi menjadi bubur.
“Sebagai Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, kita nak merayu kepada orang-orang Melayu sebelum nasi menjadi bubur. Kerana orang Melayu tidak boleh biarkan nasi menjadi bubur.
“Kalau nasi menjadi bubur, percayalah. Bubur tidak akan jadi nasi lagi dan nasi tidak akan jadi beras lagi tatkala itu. Sekiranya bangsa Melayu menangis air mata darah sekalipun tidak ada ertinya lagi kepada kita kerana segala-galanya sudah terlambat.
“Percayalah sekali bangsa Melayu hilang kuasa ianya membawa erti, kita akan hilang kuasa tersebut buat selama-lamanya. Perkara ini sudah berlaku,” jelasnya.