BANGI, Isnin – Imej bersih daripada rasuah Republik Singapura, tercalar apabila negara itu dikejutkan dengan laporan media berhubung seorang Menteri Kabinet dan seorang hartawan yang ditahan berkaitan satu daripada kes rasuah paling serius dalam tempoh 40 tahun.
Kes membabitkan Menteri Pengangkutan, S Iswaran dan Ong Beng Seng itu juga menjejaskan parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Sejak tahun 1995, Singapura sentiasa menjadi antara 10 negara yang paling kurang terbabit rasuah dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International.
Pegawai awam di Singapura adalah antara yang memperoleh gaji tertinggi di dunia, dengan Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong memperoleh pakej kira-kira SGD$2.2 juta (RM7.54 juta) setahun.
Pemberian gaji tertinggi kepada penjawat awam adalah antara strategi yang dikatakan bagi menolak gejala rasuah berlaku dan ia membantu persepsi kes rasuah di negara itu kekal rendah.
Penyiasatan dibuat ketika PAP, yang sudah memerintah sejak kemerdekaan pulau itu pada 1965, melaksanakan rancangan penggantian pucuk pimpinan tertinggi.
PAP perlu memastikan apa-apa kesan daripada siasatan itu ditangani sebelum pilihan raya umum (PRU) yang mesti diadakan menjelang November 2025.
Selain kes terbaru itu, bulan lalu, Menteri Luar, Vivian Balakrishnan serta Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang, K Shanmugam dibersihkan daripada salah laku biro antirasuah kerana menyewa kediaman kolonial berhampiran hab gaya hidup mewah.
Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, mengarahkan semakan semula selepas pembangkang bertanya sama ada menteri berkenaan membayar kadar sewa di bawah harga pasaran.
Malah, Hsien Loong sendiri (ketika menjadi timbalan perdana menteri) bersama bapanya, perdana menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, pada 1996 menghadapi dakwaan menerima diskaun bagi empat pangsapuri mewah dibangunkan oleh Beng Seng.
Perdana menteri ketika itu, Goh Chok Tong, berkata siasatan diperlu dilakukan untuk melindungi reputasi kerajaan dan mereka berdua kemudian dibersihkan dalam siasatan.
Pada 1986 pula, Menteri Pembangunan Negara ketika itu, Teh Cheang Wan, disiasat oleh CPIB kerana menerima rasuah, namum beliau menafikan menerima wang itu dan meninggal dunia sebelum didakwa secara rasmi.
Pada 1975, Menteri Alam Sekitar ketika itu, Wee Toon Boon, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan kerana menerima rumah dua tingkat dan tanah. – AGENSI