BANGI, Isnin – Menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE15) di enam negeri pada 12 Ogos ini, badan penyelidik Ilham Centre menjangkakan kemenangan satu-satu parti politik atau gabungan politik itu akan ditentukan oleh pengundi muda.
Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar berkata, ini kerana pola pengundian golongan tersebut masih segar selepas lapan bulan PRU15 berakhir.
“PH-BN dan PN ada undi asas masing-masing tetapi yang akan menentukan adalah anak muda, kerana undi anak muda ini sangat besar dalam setiap lokaliti DUN.
“Pada PRU15, undi anak muda lebih kepada Perikatan Nasional (PN) kerana pola PRU itu lapan bulan masih baru.
“Justeru, menjadi tugas berat kepada kerajaan hari ini untuk menarik anak muda ini menyokong mereka,” katanya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar.
Pada PRU15 lalu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 10.6 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun di seluruh negara akan turun mengundi.
Bagaimanapun, hasil tinjauan Ilham Centre menurut Hisom, pengundi muda masih berbelah bagi dan beralih kembali ke garis tengah dalam PRN kali ini.
Katanya, golongan ini sukar dibaca kerana kecenderungan yang tidak tetap dan mengikut trend semasa.
“Kalau dulu mereka menyokong PN atau PH, kali ini mereka berada di garis tengah untuk menilai semula.
“Jadi pada penemuan kami ini, pengundi muda masih lagi segmen yang sukar dibaca, tetapi mereka mengundi dahulu bukanlah kerana kefahaman mereka terhadap parti atau mengenali calon tetapi lebih kepada trend, ikut-ikutan dalam kalangan mereka ketika itu,” katanya.

Pengundi muda ‘game changer’ pada PRN kali ini.
Berkata kepada TV Pertiwi pada Isnin, tinjauan di Selangor dan Negeri Sembilan juga menunjukkan platform TikTok menjadi sumber utama mereka mendapatkan maklumat berkenaan PRN.
“Ketika minggu pertama saya turun ke lapangan itu, mereka menyatakan bahawa info berkaitan atau FYP yang melimpahi akaun mereka itu bercampur di antara politik dan juga bukan politik.
“Tetapi minggu ini mereka mengatakan bahawa yang melimpahi akaun mereka itu ialah tularnya video Menteri Besar Kedah lebih dominan dalam tiktok mereka,” katanya.