BANGI, Isnin – Konflik berdarah yang melibatkan Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) menyebabkan lebih 19,000 pelarian berpindah ke negara jiran, Sudan Selatan, lapor Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) di Sudan Selatan berkata, pada hujung minggu bahawa jumlah ketibaan dianggarkan akan terus meningkat ketika pergolakan di Sudan berterusan.
“Keadaan jalan dan rupa bumi yang teruk pada musim hujan dan keadaan keselamatan yang tidak menentu serta kekurangan dana untuk mengekalkan operasi kekal sebagai cabaran utama,” kata PBB.
Kanak-kanak lebih terdedah kepada bahaya berbanding sebelum ini, dengan ramai yang tidak bersekolah.
Laporan itu mengatakan bahawa rakan kongsi Pelan Tindak Balas Kecemasan telah membuat kemajuan besar dalam membantu mereka yang memerlukan tetapi skala krisis yang besar memerlukan lebih banyak sokongan.
Lebih 4 juta orang masih kehilangan tempat tinggal di Sudan, seramai 2.5 juta di dalam dan 2.2 juta di negara jiran, menurut PBB.
Pertempuran di Sudan pada 15 April telah mengakibatkan kemasukan orang ramai yang melarikan diri dari negara itu ke negara jiran, termasuk Sudan Selatan.
PBB memberi amaran bahawa konflik tanpa henti di Sudan boleh menjejaskan kestabilan wilayah yang lebih luas.