BANGI, Isnin – Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE15) dijangka bawah 70 peratus iaitu lebih rendah berbanding PRU15 yang menyaksikan 74.70 peratus atau bersamaan 15 juta pemilih.
Jumlah keluar mengundi terendah yang pernah dicatatkan adalah pada empat Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini iaitu di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sekitar 54.92 dan 66.61 peratus.
Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kesan kekecewaan pengundi tegar atau pengundi tradisi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Saya menjangkakan di bawah paras tujuh puluh peratus bagi keenam-enam negeri kerana ada beberapa faktor.
“Pertama kekecewaan dalam kalangan pengundi-pengundi tegar ataupun pengundi tradisi baik di sebelah PH termasuklah di sebelah UMNO-BN.
“Kerana apa yang telah berlaku sebelum ini menyebabkan mereka tidak selesa untuk keluar mengundi ataupun kita akan lihat ada penyokong-penyokong tradisi yang begitu tegar yang sebelum ini tidak pernah terlepas dalam setiap kali pilihan raya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi TV Pertiwi.
“Mereka akan keluar mengundi tetapi mereka akan melakukan undi protes terhadap parti mereka sendiri.
“Disebabkan oleh tindakan-tindakan dalaman parti yang sebenarnya tidak memberikan satu kepuasan hati kepada mereka dengan menyalurkan rasa ketidakpuasan hati itu menerusi peti-peti undi dalam pilihan raya.
Sebagai rekod, PRU DUN KE15 akan melibatkan enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian.