BANGI, Isnin – Gabungan Parti Sarawak (GPS), akan menghantar wakil bagi mengiringi calon parti Kerajaan Perpaduan di enam negeri yang akan melaksanakan pilihan raya, pada hari penamaan calon, 29 Julai ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata wakil itu ditentukan selepas GPS memutuskan untuk tidak terbabit secara langsung dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.
Beliau berkata, lima menteri dan enam timbalan menteri dari GPS yang berada di dalam Kabinet Persekutuan pula akan membantu menerusi tugas mereka di kementerian masing-masing.
“Kita (GPS) tidak akan menghantar jentera kempen, tetapi kita ada 11 wakil dalam kabinet Persekutuan yang akan membantu rakan-rakan parti Kerajaan Perpaduan.”
Jelas beliau, bagai tujuan itu Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia akan memikul tanggungjawab untuk seluruh negara.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing pula katanya tentunya memberi tumpuan kepada sektor pelancongan misalnya memastikan Langkawi terus menjadi lokasi tumpuan di Malaysia.
Manakala, Datuk Seri Nancy Shukri pula memberi tumpuan kepada kebajikan seluruh Malaysia manakala Datuk Rubiah Wang sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan memainkan peranan sesuai dengan tanggungjawab kementeriannya.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, faktor lain pihaknya tidak menghantar jentera kempen ialah mereka kurang arif dengan isu di Semenanjung.
Selain Fadillah, empat lagi Ahli Parlimen GPS berjawatan Menteri ialah Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Datuk Seri Tiong King Sing, Datuk Seri Nancy Shukri dan Datuk Aaron Ago Dagang.
Enam Timbalan Menteri pula ialah Datuk Rubiah Wang, Datuk Hanifah Hajar Taib, Datuk Hasbi Habibullah, Datuk Seri Huang Tiong Sii, Lukanisman Awang Sauni dan Datuk Wilson Ugak Kumbong.