BANGI, Selasa – Hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) P036 Kuala Terengganu diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE15), 12 Ogos ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan, penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai.
“Bagi pengundian awal pula adalah pada 8 Ogos,” katanya menerusi sidang akhbar di ibu pejabat SPR di Putrajaya pada Selasa.
Menurutnya, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga pukul 11.59 malam 11 Ogos.
“Semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK Kuala Terengganu dibuka semula bermula hari ini,” ujar beliau.
Abdul Ghani berkata, tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A adalah 26 Julai manakala 21 Julai bagi kategori 1B dan 1C.
Kategori 1A adalah petugas pilihan raya, anggota dan pegawai SPR serta petugas media.
Rakyat Malaysia yang berada di luar negara merupakan kategori 1B dan 1C pula adalah agensi dan organisasi.
Beliau berkata, permohonan undi pos yang telah diluluskan untuk mengundi pos bagi keempat-empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuala Terengganu akan turut diberikan kertas undi pos Parlimen.
Ujarnya, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh 19 penolong.