BANGI, Selasa – Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas kepada sesiapa sahaja yang memainkan isu agama, raja dan kaum (3R) tanpa memberikan layanan ‘double standard’.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, sudah tiba masanya kerajaan bertindak ke atas ahli politik yang sering memainkan isu 3R hanya semata-mata mahu meraih undi.
“Saya juga sangat mengalu-alukan. Sekarang siasatan dibuat ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Lim Guan Eng.
“Mereka ini sudah lama bercakap dan banyak kali kita dapati mereka membuat fitnah terhadap kedudukan penjawat-penjawat awam dan agama islam.
“Tapi selama ini tidak ada siasatan dibuat kerana kedudukan dan gelaran mereka dalam negara. Saya rasa ini adalah masa untuk ambil tindakan. Kita jangan double standard. Tak kisah siapa yang buat salah, kena siasat dan perlu didakwa, kita dakwa. Barulah adil,” katanya.
Tambah Prof Abdul Halim, larangan kepada ahli politik untuk menggunakan isu 3R pada musim pilihan raya ini merupakan tindakan yang bijak bagi mengawal keharmonian negara.
Jelasnya, ini bertujuan untuk menjaga keselamatan rakyat dan mengelak peristiwa 13 Mei daripada berulang.
“Jadi ini bukan perkara ringan. Oleh sebabkan sensitiviti, perkara 3R ini kerajaan ketika itu membuat undang-undang untuk menjaga keharmonian negara kita yang berbilang kaum, berbilang agama supaya tidak berlaku huru-hara.
“Ia diperketatkan setelah berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kita tak mahu lagi perkara ini berulang,” tambah
Beliau berkata demikian kepada TV Pertiwi hari ini bagi mengulas isu 3R yang sedang hangat di Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas kedua-dua tuduhan menghasut dalam satu ceramah di Selayang, Selangor minggu lalu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran terakhir pada mana-mana pihak yang memainkan sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum) sehingga melanggar undang-undang dan mencabar perlembagaan.