BANGI, Selasa – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu (P036) akan diadakan pada 12 Ogos ini serentak dengan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE15) di enam negeri.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh
“SPR telah melakukan mesyuarat khas pada hari ini dan memutuskan satu pilihan raya kecil, Parlimen P036 Kuala Terengganu hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut,” katanya.
Beliau menambah, PRK Kuala Terengganu juga akan melibatkan seramai 123,575 pemilih serta kos tambahan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan adalah sebanyak RM465,000.
Jelas Abdul Ghani, PRK Kuala Terengganu perlu diadakan setelah SPR menerima Laporan Hakim Pilihan Raya yang mengumumkan kekosongan luar jangka bagi bahagian Pilihan Raya Parlimen P.36 Kuala Terengganu.
“Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR pada 12 Julai, 2023 telah menerima laporan Hakim Pilihan Raya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan keputusan mahkamah yang membatalkan pilihan raya bagi bahagian pilihan raya P036, Kuala Terengganu pada 19 November 2022 yang lalu.
Beliau berkata demikian, ketika berucap pada sidang media SPR PRK P.036 Kuala Terengganu selepas mesyuarat khas ibu pejabat SPR, Putrajaya hari ini.
Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim pada PRU15 setelah pihak pempetisyen iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zubir Embong berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.
Pada PRU15 lalu, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan meraih majoriti 40,907 undi setelah menewaskan tiga pencabar lain termasuklah Mohd Zubir.