BANGI, Rabu – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempersoalkan tindakan polis menahan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada jam 3 pagi dengan memberi alasan bahawa Muhammad Sanusi dan pegawainya enggan menjawab panggilan telefon sejak petang Isnin.
Hamzah berkata, alasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sangat pelik dan aneh kerana pengawal peribadi kepada Menteri Besar Kedah itu adalah seorang anggota polis dan mereka boleh saja menghubungi pengawal peribadi Sanusi yang juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada bila-bila masa.
“Saya berasa amat pelik sekali kerana beliau sebagai Menteri Besar mempunyai seorang pengawal peribadi yang juga datang daripada PDRM. Tidakkah sesuatu yang aneh apabila polis sendiri mengatakan mereka tidak dapat menghubungi Sanusi?
“Ini adalah jawapan yang tidak masuk akal sama sekali kerana polis mempunyai seorang anggota yang diletakkan di sebelah Menteri Besar untuk menjadi pengawal peribadi dan menjaga keselamatan beliau. Boleh tanya terus kepada pengawal peribadi di mana Sanusi,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, Razarudin dalam satu sidang media menjelaskan penahanan Sanusi dibuat pada jam 3 pagi selepas beliau tidak menjawab panggilan telefon daripada polis untuk urusan pemakluman mengenai pertuduhan ke atasnya.
Selain gagal dihubungi, Sanusi juga dikatakan gagal dikesan Polis Kedah, selepas Bukit Aman meminta bantuan kontinjen itu merakamkan percakapan bagi siasatan kes Akta Hasutan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mendakwa, wujud ‘tangan ghaib’ yang mengingkan Sanusi ditangkap pada awal pagi bertujuan memalukan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.
Beliau berpendapat, salah guna kuasa adalah sesuatu yang tidak boleh dibenarkan sama sekali oleh pemimpin tertinggi negara.
Semalam, Muhammad Sanusi ditahan pada jam 3 pagi di sebuah hotel di Mont Kiara, Dutamas, Kuala Lumpur, pagi semalam oleh sepasukan polis dari USJT dan Bahagian Gengsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.